Beras yang tidak berkualiti seperti ini biasanya dijadikan makanan burung.

KUALA LUMPUR – Padi tempatan bukan tidak berkualiti tetapi ia banyak bergantung kepada kesungguhan dan komitmen para petani.

Jika petani rajin menjaga hasil tanaman – mereka tidak perlu mencari pasaran kerana pemborong akan datang di depan pintu rumah.

Tetapi, jika petani mengamalkan sikap 3D – tanam, tinggal dan tunai, memang hanya Syarikat Beras Nasional (Bernas) sahaja yang akan membeli padi mereka.

Seorang pemborong beras yang enggan namanya didedahkan berkata, sikap para petani sebenarnya yang menjadi faktor utama dalam penghasilan padi gred bermutu.

Seperti pengalamannya sendiri, sumber memberitahu, beliau suka dan kagum dengan hasil padi di Sekinchan kerana hasilnya yang cukup baik.

“Tetapi ada juga hasil padi di sekitar Kuala Selangor, tidak jauh dari Sekinchan, kualitinya tidak dijaga. Bukan kerana tanah atau baja berbeza tetapi sebab sikap 3D petani.

“Tanah di Malaysia ini rata-ratanya sama, cuma komitmen petani sahaja yang berbeza. Oleh sebab itu, pemborong pun ada sasaran kawasan-kawasan padi tertentu seperti di Rompin dan Kuala Perlis, selain Sekinchan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Apabila pemborong dapat membeli beras bermutu, ia memudahkan penggredan dan dijual pada harga tertentu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kualiti beras tempatan.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman mengeluarkan kenyataan mahu tindakan tegas diambil terhadap Bernas termasuk kemungkinan menarik balik lesen import beras jika kemelut kadar pemotongan pemutuan padi tidak diselesaikan.

Kenyataan itu dibuat selepas para petani didakwa tidak berpuas hati dengan tindakan Bernas yang mengenakan kadar pemotongan pemutuan beras sehingga 50 peratus.

Sumber itu berkata, logiknya pun peniaga mana yang hendak beli barang yang kurang bermutu kerana sukar dijual.

Lagipun, di Malaysia harga beras telah ditetapkan, kalau kurang bermutu pun dalam sekitar RM1,700 setiap tan.

Harga itu pun sudah dikira mahal berbanding Indonesia, Thailand, Vietnam dan Kemboja, pada harga tersebut adalah harga beras yang kualitinya setara dengan Super Tempatan 15.

“Disebabkan itu, kebanyakan pemborong swasta memang memilih untuk mendapatkan beras luar berbanding beras tempatan,” katanya yang mendakwa bukan semua dakwaan petani berhubung isu kualiti boleh diterima bulat-bulat. – MalaysiaGazette