Sebahagian penduduk dari lima kampung membantah pembinaan jirat

SHAH ALAM – Penduduk di Kampung Felda Bukit Cherakah dekat sini, membantah tindakan pihak tertentu hendak menjadikan kawasan berbukit berhampiran kampung mereka sebagai tanah perkuburan bukan Islam.

Mereka keluar ke kawasan yang dicadangkan itu pagi ini untuk membantah, selain mengharapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan Selangor campur tangan.

Wakil penduduk, Melan Ismail, ketika ditemui media berkata, mereka membantah kerana kawasan berbukit yang dicadangkan itu dikeliling majoriti penduduk Islam dari lima kampung.

Katanya, selain Kampung Felda Bukit Cherakah, turut terkesan dengan cadangan membina tanah perkuburan bukan Islam itu ialah penduduk di Kampung Bukit Kapar Tambahan, Kampung Kapar, Kampung Bukit Hijau dan Bandar Puncak Alam.

“Kami mengharap sangat PBT dan kerajaan negeri segera campur tangan kerana ketika ini pihak berkenaan sudah memulakan kerja-kerja membina jalan, iaitu laluan ke kawasan perkuburan berkenaan.

“Kami bantah kerana tanah perkuburan ini betul-betul terletak di tengah perkampungan kami. Bagaimana ia boleh diluluskan?” soal beliau.

Menurut Melan, kawasan itu tidak sesuai untuk dijadikan tapak perkuburan, tambahan pula untuk orang bukan Islam.

Ujarnya, beliau dengan jawatankuasa penduduk akan menjalankan kempen mengumpul sebanyak mungkin tanda tangan daripada orang yang sama-sama membantah pembinaan tanah perkuburan itu.

Seorang lagi wakil penduduk Puncak Alam, Mohd Razib Mohd Talib, 45, menyatakan, perkuburan atau jirat itu tidak sesuai dibina di kawasan berkenaan, kerana boleh menjejaskan sumber ekonomi penduduk.

Jelas beliau, Puncak Alam  adalah sebuah bandar yang bakal membangun dengan projek perumahan, tetapi jika jirat dibina di tengah bandar itu, sudah tentu membantutkan minta orang ramai untuk membeli, sekali gus tinggal di situ.

Mohd Razib berharap, kes itu dapat diselesaikan dengan cara baik, iaitu ketika penduduk Islam di situ membuat rayuan agar dipindahkan ke kawasan lain. – MalaysiaGazette