Ismail Sabri Yaakob menyampaikan surat tawaran kemasukan tingkatan 1 Maktab Rendah Sains Mara 2017 kepada Aliyah Maisara Md Akir (kanan) di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 13 JANUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menyediakan 500 tempat kepada pelajar anak miskin tegar, Orang Kurang Upaya (OKU) dan yatim piatu untuk memasuki tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bermula tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, kemasukan itu melibatkan laluan khas dalam usaha kerajaan membantu golongan itu mengubah nasib dan kehidupan mereka pada masa depan.

Beliau berkata, pelajar yang terpilih hanya memerlukan kriteria minimum iaitu mendapat 3A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu.

“Mara buat pertama kali memperkenalkan laluan khas ini untuk 500 tempat iaitu tambahan tempat daripada 7,000 tempat yang sediakan untuk Tingkatan Satu pada tahun ini.

“Pelajar anak OKU, yatim piatu dan miskin tegar memerlukan syarat minima 3A dan bakinya boleh campuran B dan C berbanding syarat minima kemasukan ke MRSM adalah 3A, 3B,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menyerah surat tawaran ke Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) 2017 kepada anak pasangan kelainan upaya (OKU), Aliyah Maisara Md. Akir di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek di sini hari ini.

Aliyah Maisara yang mencatat keputusan cemerlang dengan mendapat 6A dalam UPSR merupakan anak kepada pasangan OKU buta dan ditawarkan kemasukan di MRSM Alor Gajah, Melaka.

Sementara itu, Ismail memberitahu, MARA menerima sebanyak 64,484 permohonan ke MRSM pada tahun ini.

Namun jelasnya, agensi itu hanya menyediakan 7,500 tempat untuk tingkatan satu dan 2,000 tempat untuk tingkatan empat.

Katanya, status kemasukan ke MRSM tahun ini boleh disemak selepas 23 Januari ini di www.mara.gov.my.

“MRSM kini menjadi pilihan kerana kecemerlangannya yang berpaksikan keterbezaan program menjurus ke arah piawai dunia melalui pemerkasaan pencapaian pelajar dalam STREAM iaitu Science, Technology, Religion, Engineering, Arts, Mathematics dan penerapan Informasi dan Teknologi Komunikasi (ICT) dalam pedadoginya.

“Harapan kita semua agar mereka yang bakal menjadi pelajar MRSM akan mengambil peluang ini untuk terus menjana kecemerlangan demi masa depan yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette