Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menurunkan tandatangan di plak sebagai gimik Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPRT Taman Sinar Sedili, Kota Tinggi, Johor. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 15 JANUARI 2017.
KOTA TINGGI – Kementerian Kemajuan Luar Bandar &Wilayah (KKLW) komited membantu rakyat dengan menyediakan peluang meningkatkan punca pendapatan mereka selain memiliki rumah sendiri.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai program diperkenalkan dan peruntukan disediakan dalam merealisasikan matlamat itu.

“Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) adalah usaha kerajaan membantu rakyat miskin memiliki rumah yang lebih selesa.

“Tapi yang lebih penting, bagaimana rakyat mendapat punca pendapatan. Ada rumah tidak ada pendapatan pun susah. Baik tidak ada rumah ada punca pendapatan.

“Macam di Tanjung Sedili di sini, KEJORA (Lembaga Kemajuan Johor Tenggara) menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk projek ternakan lembu dan kambing untuk penduduk meningkatkan punca pendapatan mereka.

“Di bawah KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat) pula, kita sediakan kursus dan tamat sahaja kita akan terus bagi peralatan untuk mula meniaga.

“Contoh habis kursus menjahit kita akan beri mesin jahit dan alatan lain. Sama juga untuk kursus selepas bersalin. “Selasa ini saya akan rasmi pula Mobileprenuer untuk beri motosikal percuma untuk mereka yang ingin meniaga.

“Mana ada kerajaan di dunia ini bagi motosikal percuma untuk buat bisnes. Contoh hendak tukang baiki penghawa dingin dan mereka boleh guna motosikal untuk mula bisnes,” katanya.

Ismail berkata demikian pada majlis perasmian dan penyerahan kunci rumah PPRT Taman Sinar Sedili di Kampung Tanah Putih, Tanjung Sedili sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

KLLW telah berjaya menyiapkan sebanyak 100 unit PPRT yang menelan kos RM15.95 juta.

Unit-unit itu yang diberikan percuma merupakan PPRT yang terbesar di negeri ini.

Sementara, Ismail memberitahu Johor mendapat peruntukan sebanyak RM11.61 juta untuk PPRT dalam Bajet 2017.

Beliau menjelaskan, peruntukan itu melibatkan 90 unit baharu dan 506 unit untuk baik pulih. – MalaysiaGazette