Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Kerajaan diberi kebenaran untuk mengeluarkan Kad Pekerja Asing Sementara kepada pekerja asing tanpa izin (PATI) yang bermajikan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kebenaran itu diberi berdasarkan keperluan semasa dan terbuka kepada semua sektor namun, hanya tertakluk kepada PATI yang mempunyai majikan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Jabatan Peguam Negara berpendapat bahawa undang-undang sedia ada mengizinkan PATI bermajikan untuk bekerja di negara ini.

Pengeluaran kad kepada pekerja asing itu, yang dibawa masuk tanpa dokumen atau kewargenegaraan mereka tidak diiktiraf oleh negara asal, akan dilaksanakan selepas mendapat pengesahan bertulis daripada Jabatan Peguam Negara, katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin di sini, hari ini.

“Jika tidak mempunyai dokumen, mereka akan diklasifikasikan sebagai pekerja haram manakala majikan pula tidak membayar levi dan bagi pekerja, mereka sudah pasti tidak dilindungi insurans selain tidak mendapat manfaat sosial jika berlaku sebarang kemalangan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Kad Pekerja Asing Sementara itu perlu diperbaharui secara tahunan dan boleh dibuat melalui Bahagian Pekerja Asing, Jabatan Imigresen.

Selain memastikan majikan membayar levi ke atas pekerja asing yang digajikan, beliau berkata keputusan itu juga dapat membantu kerajaan mengenal pasti jumlah sebenar pekerja asing yang digajikan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata jumlah Pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pada 2016 menurun 12.6 peratus kepada 1,866,369 orang berbanding 2,135,035 pada 2015.

Walaupun pengurangan kira-kira 300,000 pekerja asing itu memberi kesan besar kepada nilai eksport produk keluaran negara dan gangguan kepada produktiviti sektor perkhidmatan namun, kerajaan tetap komited untuk mengurangkan pengambilan tenaga kerja asing secara berperingkat.

“Bermula 2020 hingga 2050, kerajaan menyasarkan kira-kira 15 peratus tenaga kerja di seluruh sektor diwakili pekerja asing, manakala selebihnya mesti diberikan kepada tenaga kerja tempatan termasuk dalam bidang pekerjaan yang dianggap sukar, kotor dan berbahaya,” katanya.

— BERNAMA