Ab. Aziz Kaprawi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Aziz Kaprawi mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesetiaan beliau secara terbuka sama ada bersama Sultan Johor atau untuk terus bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, Ahli Parlimen Pagoh yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu perlu membuat pilihan kali ini kerana secara jelas Sultan Johor telah murka dan mengeluarkan titah yang baginda tersinggung dengan dakwaan Mahathir yang juga Penasihat PPBM.

“Perkara ini juga seharusnya menjadi perhatian kepada Muhyiddin selaku anak negeri Johor, Ahli Parlimen negeri Johor dan pernah menjadi Menteri Besar kepada negeri Johor selama sembilan tahun.

“Beliau yang kini menjadi individu paling rapat dengan Mahathir seharusnya menasihati mantan Perdana Menteri itu agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang kontroversi dan kemarahan pelbagai pihak termasuk tuanku.

“Politik keterlaluan yang dibawa oleh Mahathir dan partinya itu hanya akan membawa kepada perpecahan dan ia adalah virus yang perlu dihalang kemasukkannya ke negeri Johor Darul Takzim,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Semalam, akhbar The Star melaporkan, Sultan Johor mengkritik Mahathir kerana cuba memainkan ‘politik perkauman’ dalam cubaannya menghalau pelaburan China dari negeri itu.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan mendakwa,  Mahathir  telah ‘mencipta ketakutan, menggunakan kaum untuk memenuhi motif politik’.

Aziz seterusnya menyatakan sokongan penuhnya dengan titah Tuanku Sultan Ibrahim dan sebagai rakyat Johor, beliau turut berkongsi rasa tersinggung dengan kenyataan jahat berkepentingan politik yang diputar belit oleh Mahathir terhadap pelaburan China di negeri itu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sri Gading bagaimanpun berkata, kritikan mantan Perdana Menteri itu terhadap Johor bukan perkara baharu.

“Namun, kenyataan dia kali ini keterlaluan sehingga mengundang kemurkaan Tuanku Sultan demi kepentingan politik peribadinya sendiri.

“Dakwaan jahat  Mahathir mengenai 700,000 rakyat China yang akan mendiami Johor Bharu dan akan diberikan taraf kewarganegaraan serta sebahagian besar tanah negeri ini akan dijual kepada China memberikan gambaran negatif terhadap kedaulatan Tuanku selaku Sultan negeri ini,” katanya.

Kata beliau, kenyataan itu juga seolah ingin membakar sentimen perkauman melampau yang langsung tidak mempunyai tempat khususnya di kalangan rakyat negeri Johor. – MalaysiaGazette

Comments are closed.