KUALA LUMPUR – Operasi mengesan pesawat MH370 di Lautan Hindi digantung dan semua kapal yang terlibat dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines telah meninggalkan zon pencarian.

Kenyataan bersama oleh kerajaan Malaysia, China dan Australia berkata, pesawat itu tidak ditemui dalam zon pencarian bawah laut seluas 120,000 kilometer persegi.

“Walaupun segala usaha menggunakan kaedah sains terbaik sedia ada, teknologi terkini, model dan nasihat profesional yang sangat mahir dan terbaik dalam bidang masing-masing, malangnya masih gagal untuk mencari pesawat itu.

“Oleh itu, pencarian MH370 telah digantung,” kata kenyataan tersebut.

Katanya, keputusan itu bukan mudah, tetapi ia selaras dengan keputusan yang dibuat oleh ketiga-tiga negara pada Mesyuarat Menteri Tiga Negara di Putrajaya pada Julai tahun lalu.

Malah, katanya, sehingga kini tiada maklumat baru telah ditemui untuk menentukan lokasi tertentu pesawat malang itu.

“Kami terharu dengan komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh pasukan pencarian yang terlibat dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka,” kata kenyataan itu.

Pesawat MH370 dengan 239 orang penumpang dan anak kapal hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014. – MalaysiaGazette