Home Ekonomi Saham FGV susut selepas berita tiada hasrat jadi syarikat persendirian

Saham FGV susut selepas berita tiada hasrat jadi syarikat persendirian

KUALA LUMPUR – Saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) turun pada sesi pagi ini setelah berita tiada perbincangan untuk dijadikan syarikat persendirian.

Pada pukul 10.34 pagi, saham FGV susut tiga sen kepada RM1.72 dengan 3.47 juta saham bertukar tangan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, FGV menjelaskan tidak ada perbincangan menjadikannya sebagai syarikat persendirian.

“Selepas membuat beberapa pertanyaan dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang merupakan pemegang saham utama, FGV dimaklumkan tidak ada perbincangan mengenai urusan itu di peringkat lembaga pengarah,” katanya.

Syarikat perladangan ketiga terbesar dunia mengikut keluasan itu juga tidak menerima sebarang cadangan daripada pemegang saham yang lain mengenai perkara yang sama.

FELDA dan syarikat sekutunya secara kolektif memiliki pegangan terbesar dalam FGV pada 36.69 peratus.

Antara dana institusi yang masih memegang pegangan dalam FGV ialah Lembaga Tabung Haji (7.78 peratus, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (4.98 per cent) and Amanahraya Trustees Bhd (4.13 peratus).– MalaysiaGazette