Faiz Subri ditemani anaknya Akif Fayyadh menunjukkan Anugerah FIFA PUSKAS 2016 yang dimenanginya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. foto FAREEZ FADZIL, 11 JANUARI 2017

ALOR SETAR – Pemenang Anugerah The FIFA Puskas 2016, Mohd. Faiz Subri bakal menerima wang tunai dan dilantik sebagai Duta Muafakat Belia Kedah.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, anak kelahiran Kampung Tok Kepak itu akan diberi RM20,000 oleh Persatuan Bola Sepak Kedah.

Menurutnya, kejayaan Mohd. Faiz menyebabkan beliau kini setanding dengan pemain bola sepak antarabangsa seperti Lionel Messi, Christiono Ronaldo dan Neymar.

“Bagi menghargai sumbangan beliau mengharumkan nama negara dan negeri, anugerah Bintang Semangat Jerai turut dianugerahkan oleh Sultan Kedah,” katanya semasa Majlis Perutusan Tahun Baru 2017 di sini hari ini.

Menurut Ahmad Bashah, melalui kehebatan anak-anak Kedah, beliau yakin lebih banyak sejarah dapat dicipta sekiranya ada kesungguhan dan kerja keras.

“Susulan dari usaha ini, maka Akademi Dato Ahmad Basri atau ADAB ditubuhkan tanggal 11 Oktober 2016. Untuk makluman, Kedah adalah negeri pertama menjalin kerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara,” katanya lagi.

Menurutnya, melalui sukan, ia dapat melatih bakat yang ada di negeri itu.

“Selain mempromosikan sukan sebagai satu industri dan laluan kerjaya, usaha sebegini mampu mengurangkan gejala sosial seperti penagihan ketum dan dadah yang cukup ketara di Kedah,” katanya.-MalaysiaGazette