Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – “Tidak perlu persoal kesetiaan saya kepada Sultan Johor,” tegas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab cabaran Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Aziz Kaprawi.

Katanya, sebagai anak Johor, sudah tentu beliau tumpahkan taat setianya kepada raja dan negeri Johor.

Selain itu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga menjunjung kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu juga sebahagian daripada matlamat perjuangan parti PPBM yang jelas termaktub dalam perlembagaan.

“Jadi, jangan persoalkan kesetiaan saya kepada Sultan Johor,” tegasnya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Semalam, Aziz yang juga Ketua UMNO Bahagian Sri Gading mencabar Muhyiddin menyatakan kesetiaannya secara terbuka sama ada bersama Sultan Johor atau terus bersama Penasihat PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Aziz, Muhyiddin perlu membuat pilihan kali ini kerana secara jelas Sultan Johor telah murka dan mengeluarkan titah yang baginda tersinggung dengan dakwaan mantan Perdana Menteri itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, isu sekarang bukan soal kesetiaan sebaliknya kedaulatan.

“Ia soal prinsip. Apa prinsip kita mengenai kedaulatan negara dan kepentingan rakyat? Adakah penjualan tanah kepada syarikat asing untuk dibina rumah kediaman yang kemudiannya dijual sebahagian besarnya kepada rakyat negara asing memenuhi kepentingan rakyat negara ini?

“Bagaimana pula tanah ini yang dimiliki secara kekal oleh rakyat negara asing tidak mendatangkan ancaman kepada kedaulatan negara?,” soalnya.

Menurut Muhyiddin, wilayah yang telah hilang tidak dapat diperoleh semula dan itulah pengalaman dilalui negeri-negeri Melayu ketika British datang ke tanah air dengan Syarikat Hindia Timur.

“Ada pihak mengatakan, penjualan tanah ini kepada syarikat asing dari negara China adalah pelaburan asing. Apabila saya mengkritik dasar ini, saya dituduh anti pelaburan asing. Tidak kurang juga ada media tempatan mengecap saya anti Cina,” ujar beliau.

Mengenai Forest City, Muhyiddin berkata, syarikat asing tidak menanam modal di situ, sebaliknya membeli tanah untuk dibangunkan dan dijual.

“Ketika saya Timbalan Perdana Menteri, saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara yang dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Dasar kerajaan pada ketika itu ialah tanah yang dijual kepada pelabur asing mestilah tidak berstatus hak milik kekal. Ini penting supaya tanah ini tidak jatuh ke tangan pihak asing,” ujar beliau.

Bagaimanapun, beliau melontarkan pertanyaan, adakah dasar itu telah tidak dipatuhi kerajaan negeri Johor ketika meluluskan penjualan tanah di Forest City kepada syarikat asing?

“Atau adakah dasar mengenai pemilikan tanah oleh orang asing telah berubah? Persoalan ini perlu dijawab oleh kerajaan negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette