Iskandar Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini kalut dengan ‘kehadiran’ dua pemimpin Pas pada majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Stadium Malawati, Shah Alam.

Ada sesetengah media melaporkan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abd. Samad, hadir.

Ada pula sesetengahnya melaporkan, kedua-dua mereka tidak hadir.

Media melaporkan kehadiran Tuan Ibrahim dan Iskandar berikutan nama mereka disebut oleh Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam ucapan aluan, dan dikuatkan lagi ucapan terima dari Penasihatnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang disebut diawal ucapan pelancaran.

Keesokan hari, setelah semua laporan berita, baik cetak, elektronik mahupun portal menyiarkan berita berkenaan, baharulah ada kenyataan balas.

Sebelum itu, pada malam pelancaran, setelah nama mereka disebut sebagai hadir, ada media mencari-cari kelibat dan bayang kedua-duanya, tetapi tidak kelihatan.

Justeru, ada wartawan menghantar mesej melalui aplikasi Whasap untuk mendapatkan pengesahan, juga tidak berjawab sehingga tengah malam.

Bila begitu, media menganggap mereka hadir tetapi tidak berada dalam dewan, mungkin atas sebab-sebab tertentu.

Sehinggalah Iskandar membuat kenyataan menyatakan kekesalan dan kekecewaannya dengan media kerana melaporkan kehadiran mereka, walhal mereka tidak hadir.

Dalam kenyataan itu, Iskandar dilaporkan berkata, Pas membuat keputusan untuk tidak hadir di majlis pelancaran PPBM di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu lalu, kerana kehadiran Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP.

Kenyataan itu bagaimanapun, tidak dihantar kepada semua media seperti sebelum ini. Ia hanya dikeluarkan dalam portal lidah rasmi parti sahaja .

Tetapi, media yang menghidu kewujudan kenyataan itu mengambil langkah berhati-hati untuk tidak ‘sewenang-wenangnya’ menyiarkan dalam medium masing-masing, kerana dikhuatiri ianya palsu.

Namun, setelah ‘disiasat’ dan ‘dikaji’, akhirnya media mendapati kenyataan itu memang tulen dan terus disalin tampalkan dalam medium berita masing-masing.

Agak menarik dalam kenyataan itu, Iskandar kata, Pas tidak mempunyai hubungan politik dengan kedua-dua parti berkenaan, menyebabkan pimpinan sebulat suara mengambil keputusan tidak hadir ke pelancaran PPBM.

Setakat ini, tidak ada seorang pun pemimpin PPBM membuat ulasan balas dengan kenyataan itu, sebaliknya ia mendapat perhatian dari pemimpin Pas sendiri, iaitu Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar

Beliau yang tekejut dengan penjelasan Iskandar, kemudiannya mempersoalkan, kalau Pas tidak dapat hadir ke program PPBM hanya kerana ada pemimpin PAN dan DAP, bagaimana pula anggota Exco Pas boleh masuk bermesyuarat Ahli Majlis mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Selangor setiap minggu?

“Tidakkah dalam mesyuarat itu turut ada atau turut hadir beberapa anggota Exco dari DAP? Dan dalam pentadbiran kerajaan Selangor juga turut wujud beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAN?

“Pada saya, kenyataan dan penjelasan Datuk Iskandar sangat mengejutkan dan mengundang risiko yang besar kepada kelangsungan politik Pas khususnya kedudukan Pas dalam kerajaan Selangor,” katanya mengulas kenyataan Iskandar kelmarin.

Kemungkinan besarkah, kenyataan itu akan memberi isyarat jelas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor bahawa tiga anggota Exco Negeri Selangor dari Pas tidak akan hadir Mesyuarat Exco akan datang?

Sebabnya, seperti yang Pas Pusat putuskan, bahawa wakil mereka tidak akan duduk sepentas dengan PAN dan DAP dalam apa jua program mahupun majlis.

Ia juga memberi isyarat kepada Mohamed Azmin untuk mengkaji semula barisan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu kerana dalam PBT itu ada Ahli Majlis dari PAN dan ada juga dari DAP.

Yang pasti, dalam seharian dan hari-hari berlalu serta mendatang, Pas akan duduk sepentas dan semeja dengan PAN juga DAP. Adakah itu dibolehkan? Tetapi majlis pelancaran PPBM tidak boleh?

Sebelum ini, Pas selalu membuat kenyataan bahawa parti itu tidak ada masalah dengan PPBM dan PKR. Tetapi majlis yang berlangsung Sabtu lalu adalah 100 peratus milik serta anjuran PPBM. Tidak ada kena mengena dengan PAN mahupun DAP.

Mereka (PAN dan DAP) termasuk juga PKR serta pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dijemput oleh PPBM untuk melengkap serta memeriahkan majlis pelancaran parti berkenaan.

Persoalan timbul sekarang, adakah Iskandar cuba menyampaikan mesej kepada PPBM bahawa Pas akan menamatkan atau memutuskan hubungan dengan parti itu termasuk PKR?

Bagaimana pula kedudukan Pas dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor? Adakah ianya akan berakhir selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 diketahui? – MalaysiaGazette