Datuk Seri Najib Razak
KUALA LUMPUR – Malaysia akan menyumbang RM10 juta untuk membantu usaha kemanusiaan dan projek pemulihan sosial di Rakhine, Myanmar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata dana itu akan digunakan untuk membina infrastruktur seperti institusi pendidikan dan perubatan, menyumbang kepada pembangunan di sana dan membaiki kualiti hidup penduduknya.

“Malaysia juga akan terus menghulurkan sokongan terhadap pembangunan sumber manusia melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

“Buat masa ini, Myanmar ialah penerima terbesar MTCP dalam kalangan negara ASEAN, dan inisiatif pembinaan kapasiti yang disediakan adalah sebahagian penting usaha untuk penyelesaian jangka panjang yang berdaya maju.

“Saya menggalakkan dan menyambut baik apa jua ikrar bantuan daripada negara-negara anggota,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada sesi khas Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya di sini hari ini.

— BERNAMA