Home Ekonomi Bursa diunjur cecah 1,680 mata

Bursa diunjur cecah 1,680 mata

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan dengan FBM KLCI mencecah paras 1,680 berikutan sentimen yang lebih baik susulan ringgit meningkat berbanding dolar AS.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, sentimen dijangka baik sebelum pelantikan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat pada Jumaat berikutan ucapan beliau dijangka memberi butiran lanjut mengenai dasar kerajaannya, termasuk dasar ekonomi.

Beliau berkata, keputusan Bank Pusat Eropah baru-baru ini untuk mengekalkan kadar faedahnya, selain keyakinan daripada bank pusat Jepun dan Bank Negara Malaysia mengenai pertumbuhan ekonomi negara masing-masing akan turut membantu meningkatkan sentimen.

“Ada asas, hanya sentimen yang mengekalkan pasaran saham tempatan rendah minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya saham pandu pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 30 mata atau 1.8 peratus pada bulan ini, petunjuk yang baik untuk sepanjang tahun ini. Beliau berkata paras sokongan minggu depan dilihat pada 1,660 dan paras halangan pada 1,680.

Bagi minggu baru berakhir, indeks tempatan diniagakan kebanyakannya rendah, didominasi oleh sentimen berhati-hati terhadap dasar AS selepas Trump mengambil alih pentadbiran.

Bagi asas mingguan, FBM KLCI jatuh 7.61 mata kepada 1,664.89 daripada 1,672.5 pada Jumaat lepas. Indeks FBM Emas susut 42.76 mata kepada 11,668.55, Indeks FBMT 100 merosot 43.15 mata kepada 11,372.54, FBM Ace turun 101.37 mata kepada 4,985.8 dan FBM 70 berkurangan 16.74 mata kepada 13,346.94. Indeks FBM Emas Syariah susut 78.87 mata kepada 12,157.94.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 38.78 mata kepada 14,707.21, Indeks Perladangan jatuh 21.94 mata kepada 7,915.12 dan Indeks Perusahaan merosot 44.55 mata kepada 3,125.53. Jumlah dagangan mingguan jatuh kepada 9.1 bilion unit bernilai RM8.25 bilion daripada 11.99 bilion unit bernilai RM9.69 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 6.08 bilion saham bernilai RM7.74 bilion daripada 7.99 bilion saham bernilai RM8.98 bilion sebelum ini. Jumlah dagangan waran susut kepada 766.61 juta unit bernilai RM116.42 juta daripada 866.07 juta unit bernilai RM142.42 juta pada Jumaat lepas.

Pasaran ACE merosot kepada 2.23 bilion saham bernilai RM392.53 juta daripada 3.11 bilion saham bernilai RM562.63 juta pada minggu lepas. – MalaysiaGazette