Mohd Sukri Kaman (kanan) bersama Zaida Hussein (kiri) memeriksa sebahagian kereta klon di Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 JANUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Sekiranya anda didekati individu tidak dikenali yang mahu menjual kereta pada harga yang sangat rendah daripada harga pasaran, anda dinasihatkan tidak membelinya dan membuat laporan polis.

Itu merupakan peringatan polis susulan rampasan 33 buah kereta klon antaranya Honda Odyssey, BMW dan Mini Cooper yang dijual pada harga antara RM20,000 hingga RM50,000.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, turut ditahan 33 suspek yang merupakan pembeli kereta klon dengan sindiket yang masih lagi bebas.

Katanya, setiap kereta klon itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dan sindiket terbabit akan mencari model yang sama yang hendak dilupuskan bagi membolehkan mereka memalsukan cukai jalan kenderaan berkenaan.

Menurutnya, rampasan dan tangkapan itu dilakukan menerusi Ops Lejang yang dilaksanakan antara pertengahan tahun 2015 hingga akhir tahun 2016.

“Kami telah mempergiatkan usaha mengesan dan menangkap sindiket kereta klon berkenaan yang juga didapati berurusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Mereka mencari kereta yang sama model dengan kereta klon yang dibawa masuk sebelum mengklon cukai jalan kereta itu yang ternyata tulen dan dijual.

“Siasatan awal kami mendapati setiap kenderaan itu dijual dengan harga serendah RM20,000 hingga maksimum RM50,000 sebuah yang mana jauh lebih rendah dengan harga pasaran,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis penyerahan kereta klon yang dirampas polis kepada Jabatan Kastam DiRaja Malaysia untuk dilupuskan.

Pada Majlis itu, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia diwakili Timbalan Pengarah Penguatkuasaan (Wilayah Persekutuan), Zaida Hussein.

Tambah Mohd Sukri, nilai rampasan yang melibatkan kesemua 33 kenderaan klon itu adalah kira-kira RM3 juta.

Ujar beliau, kesemua pembeli yang ditahan berusia antara 25 hingga 40 tahun disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 108(e), Seksyen 10(f) Akta JPJ 1987 dan didakwa dimahkamah.

“Kesemua suspek tidak diberi pertimbangan walaupun memberi alasan kononnya tidak tahu atau tidak menyedari kenderaan yang dibelinya adalah klon.

“Salah tetap salah dan akan berdepan tindakan berat, sebab itulah polis menasihatkan supaya jangan ikut emosi, tamak membeli kereta mewah yang dijual terlalu murah.

“Laporkan kepada pihak berkuasa polis jika adalah tawaran kereta klon daripada individu tidak dikenali, supaya anda tidak ditipu dan kami boleh bertindak,” katanya. – MalaysiaGazette