LUMUT – Maritim Negeri Perak telah menyerahkan empat nelayan warga Indonesia kepada wakil konsulat negara itu semalam selepas bot yang dinaiki mereka dilanggar oleh sebuah kapal kargo ketika cuaca hujan lebat dan angin kencang pada jarak 90.6 batu nautika dari barat daya Pulau Pinang sekitar pukul 9 pagi, Khamis lalu.
Mereka telah diselamatkan oleh kapal kargo CMA CGM RIVOLI sekitar pukul 7 petang hari yang sama.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penyerahan empat nelayan terbabit iaitu Muhamad Solihin, 53, Dady Shahputra, 39, Asri, 44 dan Jampur, 53 tahun yang berasal dari Medan, Indonesia dilakukan di hadapan wakil konsulat negara itu iaitu Lieutenant Commander Sumar Sadewo di Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak sekitar pukul 2.10 petang semalam.
Walau bagaimanapun salah seorang daripada mereka iaitu Jampur yang mengalami kecederaan pada tangan, rusuk dan kaki kanan akibat terkena serpihan kaca akan dibawa pulang setelah selesai mendapat rawatan lanjut dari Hospital Seri Manjung.
Terdahulu, Sumar Sadewo memaklumkan seorang lagi kru bot yang dikenali sebagai Abdul Malek, 56 yang sebelum ini dipercayai masih hilang telah ditemui dalam keadaan sihat dan selamat oleh nelayan tempatan di perairan Indonesia.
Dalam kejadian tersebut, Pusat Operasi Maritim Negeri Perak telah menerima maklumat daripada MRSC Langkawi dan telah mengatur gerak aset KM MALAWALI yang diketuai oleh Leftenan Komander Maritim Mohd Arizan Hakimi bin Mohd Zin ke lokasi pertemuan pada jarak 4.1 batu nautika dari barat pulau Jarak, Perak bagi mengambil kesemua mangsa dari kapal kargo CMA CGM RIVOLI untuk tindakan selanjutnya.
Tambah Shukri, urusan penghantaran pulang kesemua nelayan tersebut akan dilakukan oleh pihak Indonesia sendiri dan wakil konsulat bersetuju menerima mangsa setelah selesai sesi pengesahan dan proses dokumentasi.
Penyerahan kesemua nelayan warga Indonesia ini mencerminkan hubungan baik yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan kedua-dua negara terjamin. – MalaysiaGazette
















