Bekas Pengarah Besar FELDA, Datuk Faizoull Ahmad mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdaya Lembaga Pengarah agensi kerajaan itu berhubung pemberian kuasa kepada sebuah syarikat untuk menukar hak milik 16 tanah Felda pada 12 tahun lalu ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 30 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan Lembaga Pengarah agensi itu berhubung pemberian kuasa kepada sebuah syarikat untuk menukar hak milik 16 tanah Felda di Jalan Semarak, 12 tahun lalu.

Faizoull, 66, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, Faizoull yang ketika itu Pengarah Besar Felda didakwa pada 2 September 2014 memperdayakan Lembaga Pengarah dengan menyembunyikan fakta bahawa surat kuasa wakil (Power of Attorney) bertarikh 3 Jun 2014 memberikan kuasa kepada Synergy Promenade Sdn Bhd untuk menukar hak milik tanah milik Felda.

Ia membabitkan projek Cadangan Pembangunan Lot Felda di 16 bidang tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan Lembaga Pengarah Felda bersetuju dengan surat kuasa wakil berkenaan sehingga tanah-tanah milik Felda ditukar hak milik kepada Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd dan Synergy Promenade Sdn Bhd.

Sedangkan, menurut pertuduhan, Lembaga Pengarah Felda tidak akan bersetuju sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Menara Felda, Persiaran KLCC, di sini, pada 2 September 2014.

Faizoull didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Faizoull diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), N Joy Jothi mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed.

Terdahulu, pendakwaan menawarkan mahkamah meletakkan jaminan sebanyak RM100,000 peguam pula merayu supaya jumlah ditetapkan sebanyak RM30,000.

Mahkamah menetapkan 6 November 2026 untuk sebutan semula kes. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here