Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendengar soalan daripada wartawan pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, PWTC. foto SAFWAN MANSOR, 27 JANUARI 2017

KUALA LUMPUR- UMNO tidak ada masalah sekiranya Pas berjumpa dengan mana-mana pihak termasuk parti pembangkang dalam Pakatan Harapan bagi membentuk kerjasama politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ia hak Pas.

“Presiden Pas boleh jumpa sesiapa sahaja. Itu hak masing-masing,” ujarnya yang juga Presiden UMNO pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di sini petang tadi.

Beliau berkata demikian mengulas ura-ura Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mewakili Pakatan Harapan yang masih membuka ruang kerjasama dengan Pas walaupun sebelum ini ia nampak sukar.

“Tak perlu komen. Soal kerjasama hadapi PRU-14, itu lain cerita. Kita bincang lagi pun pilihan raya lambat lagi,” seloroh Najib.

Menurut beliau, kerjasama Pas dengan UMNO setakat ini masih dalam isu kepentingan ummah dan agama Islam.

Malah pada 3 Februari ini, katanya, Pas akan menyertai UMNO pada pelancaran flotilla bantuan ke Myanmar dan bulan yang sama UMNO juga akan menyertai Himpunan RUU 355 anjuran Pas di Dataran Merdeka.

“Ada (terlibat dalam Himpunan RUU 355) tapi ulasannya nanti kena halusi pelbagai aspek, bagi tempoh,” ujar Najib.

Sebelum itu, selain berkongsi pentas dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam beberapa perhimpunan berkaitan Islam, mereka berdua juga bersama-sama dalam protes membantah kekejaman ke atas umat Islam di Myanmar baru-baru ini.-MalaysiaGazette