Tiga jenama beras yang didakwa diperbuat daripada plastik.

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak mengimport beras berjenama Kokeshi Rice, Kohinoor Basmati Rice dan NICR.RICE yang didakwa beras palsu yang dihasilkan daripada plastik.

“Pemerikasan Kementerian Kesihatan ke atas beras yang dijual di pasaran juga mendapati bahawa jenis beras dengan jenama terbabit yang didakwa dihasilkan daripada plastik tidak dijual di negara ini.

“Sepertimana yang telah dimaklumkan melalui kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan pada 21 Mei 2015, beras yang diimport ke negara ini kebiasaannya adalah daripada negara Vietnam, Thailand dan Pakistan sebagaimana dimaklumkan oleh Bernas,” kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Malah, menurut Bernas, kesemua beras tersebut diimport secara pukal dan dibungkus di negara ini dalam pelbagai saiz bungkusan.

Dengan penjelasan ini, KKM berharap orang ramai tidak perlu khuatir kerana aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan sentiasa dijalankan bagi memastikan makanan di pasaran adalah selamat.

Sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan sesuatu makanan di pasaran, pengguna boleh membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.-  MalaysiaGazette