Home Ekonomi Bursa Malaysia diramal tinggi minggu depan

Bursa Malaysia diramal tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka tinggi minggu depan dengan penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) mencecah paras 1,700.

Ini kerana sentimen yang muncul daripada dasar perlindungan perdagangan Presiden AS Donald Trump, membantu menjelaskan ketidaktentuan pelabur.

Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, rancangan ekonomi Trump dan pendekatan perlindungannya terhadap perdagangan serta dasar terhadap peraturan dan cukai korporat akan memberi sentimen positif kepada pasaran ekuiti.

“Pemulihan sederhana dalam sentimen risiko global dan harga komoditi, terutamanya harga minyak dunia juga akan menyumbang kepada kenaikan di bursa tempatan minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Nazri berkata, bursa serantau dan tempatan juga akan turut memantau prestasi Wall Street untuk petunjuk selanjutnya.

Awal minggu ini, Trump menandatangani arahan eksekutif yang menarik Amerika Syarikat daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan langkah berkenaan telah mempengaruhi sentimen pasaran serantau, termasuk Malaysia.

Kenaikan di Bursa Malaysia juga hilang momentum dan jumlah dagangan berkurangan pada Jumaat setelah pelabur bercuti sempena cuti panjang hujung minggu berikutan sambutan Tahun Baharu Cina.

FBM KLCI didagangkan antara 1,660 dan 1,690 mata minggu ini terutama dengan perayaan Tahun Baharu Cina.

Bagi minggu yang baru berakhir, indeks tempatan kebanyakannya diniagakan rendah.

Bagi asas minggu ke minggu, FBM KLCI naik 21.47 mata kepada 1,686.36 daripada 1,664.89 pada Jumaat lepas.

Indeks FBM Emas menokok 160.11 mata kepada 11,828.66, Indeks FBMT 100 meningkat 159.84 mata kepada 11,532.38 manakala FBM Ace susut 46.03 mata kepada 4,939.77 dan FBM 70 pula melonjak 237.86 mata kepada 13,584.80.

Indeks FBM Emas Syariah menambah 162.64 mata kepada 12,320.58.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 175.81 mata kepada 14,883.02, Indeks Perladangan meningkat 37.78 mata kepada 7,952.90 dan Indeks Perusahaan menambah 128.49 mata kepada 3,254.02.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 6.85 bilion unit bernilai RM8.60 bilion daripada 9.1 bilion unit bernilai RM8.25 bilion pada Jumaat lepas.

Di pasaran utama, jumlah dagangan menyusut kepada 4.71 bilion saham bernilai RM18.29 bilion berbanding 6.08 bilion saham bernilai RM7.74 bilion.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 904.75 juta unit bernilai RM109.29 juta daripada 766.61 juta unit bernilai RM116.42 juta.

Pasaran ACE pula susut kepada 1.20 bilion saham bernilai RM200.59 juta daripada 2.24 bilion saham bernilai RM392.54 juta. – MalaysiaGazette