Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penggantungan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tan Sri Annuar Musa berkuatkuasa hari ini adalah bersifat sementara.

Katanya, penggantungan itu bagi membolehkan Jawatankuasa Audit Dalaman MARA menjalankan siasatan berkaitan tajaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pelaburan MARA Berhad serta beberapa isu lain yang diviralkan dalam media sosial.

“Mesyuarat Khas Majlis MARA yang dilangsungkan hari ini berikutan permohonan semua Ahli Majlis MARA dan ditandatangani oleh semua Ahli Majlis MARA termasuk wakil kerajaan.

“Difahamkan mesyuarat itu bertujuan untuk melantik Jawatankuasa Audit Dalaman bagi menyiasat isu yang berkaitan dengan tajaan UniKL dan Pelaburan Mara Berhad serta beberapa isu lain yang diviralkan dalam media sosial.

“Siasatan ini bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada MARA dan saya juga dimaklumkan mesyuarat diwakili semua ahli termasuk wakil Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan terbaharu kepada media di sini, hari ini.

Ahli Majlis MARA dalam satu mesyuarat tergempar hari ini menggantung tugas Annuar berkuat kuasa serta merta.

Dengan itu, semua tugas Annuar akan dipangku Ahli Majlis MARA, Datuk Dr. Yusof Yacob yang telah mempengerusikan mesyuarat tergempar tersebut bersama Prof. Emeritus Datuk Dr. Abu Azam Md Yassin.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Annuar tidak dijemput hadir pada mesyuarat itu kerana ia ada kaitan dengannya.

Malah, ujarnya, Annuar tidak dipanggil memberi penjelasan kerana mesyuarat berpendapat adalah wajar beliau memberi penjelasan kepasa Jawatankuaa Audit Dalaman nanti.

“Tindakan penggantungan sementara dibuat berdasarkan beliau sedang disiasat oleh Jawatankuasa Audit dan sebagai Pengerusi, bimbang akan mempengaruhi siasatan.

“Penggantungan beliau adalah sementara menunggu siasatan Jawatankuasa Audit Dalaman selesai,” katanya.

Jelasnya, beliau turut dimaklumkan oleh Penasihat Undang-undang MARA bahawa Majlis MARA berkuasa penuh dalam keputusan menggantung (Annuar), sementara menunggu siasatan juruaudit dalaman diselesaikan.

“Ini kerana ia tidak melibatkan pelantikan dan pemberhentian yang memerlukan kuasa menteri dengan persetujuan Perdana Menteri.

“Ianya adalah prosedur biasa dalam satu-satu siasatan, untuk yang disiasat digantung tugas sementara,” katanya yang menghormati keputusan Majlis Mesyuarat MARA yang ingin menyelesaikan isu membabitkan agensi itu dan anak syarikat secara tuntas.

Bagaimanapun, Ismail Sabri meminta supaya siasatan dalaman itu dapat diselesaikan dengan segera bagi memulihkan keyakinan rakyat kepada MARA. – MalaysiaGazette