Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mempertikaikan keputusan Football Malaysia Liability Limited Partnership (FMLLP) menunda perlawanan antara Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT)  yang sepatutnya diadakan pada Sabtu ini (4 Februari) kepada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Annuar yang meminta penjelasan daripada FMLLP berhubung perkara itu berkata, jadual sedia ada sudah mengambil kira kelayakan JDT ke perlawanan kalah mati Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang sudah lama ditetapkan.

“Di bawah peraturan sedia ada, penundaan tertakluk kepada peraturan bertulis Liga M, antaranya penundaan memerlukan permohonan 14 hari lebih awal. Jika peraturan 14c hendak di pakai pun notis tujuh hari diperlukan,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Perlawanan antara Kelantan JDT dan Kelantan di Kota Bharu ditunda berikutan kemenangan pasukan selatan tanah air itu ke atas Bangkok United 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa tambahan pada perlawanan yang diadakan di Bangkok malam semalam.

Kemenangan tersebut membolehkan JDt melangkah ke pusingan kelayakan akhir Liga Juara-juara Asia bertemu kelab Jepun, Gamba Osaka pada 7 Februari ini.

Menurut Annuar, JDT hanya perlu berada di Osaka pada 5 Februari dan bukannya 4 Februari dan pasukan itu mempnyai 30 pemain yang boleh digilirkan.

“Faktor memberi masa rehat untuk JDT boleh difahami. Tapi isunya kenapa jadual asal tidak mengambil kira faktor ini,” tambahnya.

Jelas beliau, pertukaran jadual perlawanan pada saat akhir akan merugikan penyokong tuan rumah yang telah mengambil cuti, membeli tiket penerbangan dan sebagainya.

Justeru Annuar menambah, sebaik-baiknya FMLLP membuat penjelasan berhubung penundaan perlawanan itu supaya ia tidak dilihat tunduk kepada pihak tertentu tanpa mengambil kira kesan kepada pasukan tuan rumah. – MalaysiaGazette