KUALA LUMPUR- Sistem harga Singapore Means of Platts (MOPS) menunjukkan purata harga MOGAS 95 tanpa plumbum untuk Januari 2017 stabil antara AS$69 ke AS$70 setong.
Ia adalah lebih tinggi dari harga purata Disember 2016 di mana harga meningkat dengan konsisten dari AS$62 pada permulaan bulan kepada AS$68 pada hari terakhir Disember.
Sistem ini boleh diakses oleh orang awam bagi mengesahkan sendiri tindakan kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 20 sen semalam.
Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional dalam satu kenyataan berkata, menerusi Sistem Apungan Terkawal, kerajaan menggunakan purata harga produk akhir pada bulan sebelumnya untuk menentukan harga runcit di pam bulan berikutnya dan bukannya harga purata minyak mentah.
Sistem tersebut juga membolehkan rakyat menikmati harga rendah selama dua tahun sebelum ini apabila harga di pam turun sehingga RM1.60 seliter.
“Walaupun sistem apungan terkawal menyebabkan rakyat Malaysia membayar lebih tinggi kerana ianya terikat dengan harga minyak global, kita juga telah menikmati harga rendah untuk satu tempoh selama 2 tahun apabila harga di pam turun sehingga RM1.60 seliter.
“Ianya tidak seperti sebelum tahun 2004 di mana rakyat Malaysia tidak mendapat manfaat dari harga minyak global yang rendah, iaitu AS$10 sehingga AS$20 setong berbanding AS$55 sehingga AS$60 setong sekarang kerana kita pada ketika itu dicukai 58.62 sen untuk seliter petrol 19.64 sen untuk seliter diesel selama berdekad.
“Cukai ini hanya dimansuhkan pada tahun 2004,” kata kenyataan tersebut yang menjawab tuduhan ahli parlimen PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen DAP, Tony Puah yang mengatakan tiada keperluan untuk menaikkan harga petrol untuk bulan Februari.
Kedua-dua ahli parlimen berkenaan mendakwa harga minyak mentah pada bulan Januari telah jatuh dan ringgit tidak mengalami penurunan berbanding bulan sebelumnya.
“Kami di sini ingin memaklumkan kepada kedua-dua ahli parlimen terbabit, pemimpin pembangkang yang lain serta jentera propaganda mereka bahawa kita pengguna di Malaysia tidak mengisi minyak mentah ke dalam kereta.
“Majoriti rakyat Malaysia mengisi Petrol RON95 atau diesel,” kata kenyataan itu lagi.-MalaysiaGazette