Abdul Ghafar Baba

PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba mengetuai senarai 375 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat bersempena Hari Wilayah Persekutuan, Rabu.

Abdul Ghafar yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia keenam iaitu dari 10 Mei sehingga 15 Oktober 1993, dikurniakan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Turut dikurniakan darjah yang sama ialah bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Mohamad Zabidi memegang jawatan berkenaan dari 15 Mac 2013 hingga 31 Disember tahun lepas (2016).

Sejumlah 19 individu pula dianugerahkan pingat Darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan; Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani; Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Mazidah Abdul Majid.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi; Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Jayasiri Jayasena; Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Mohd Azhar Hj Yahaya.

Turut menerima SMW ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Johan Abdullah; Setiausaha Eksekutif Majlis Tertinggi Barisan Nasional Datuk Seri Abu Khamis; Pengerusi Panel Penasihat Syariah Amanah Ikhtiar Malaysia Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz;

Pengerusi CRSC Holdings Bhd Datuk Seri Low Wui Keong; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Building Society Bhd (MBSB) Datuk Seri Ahmad Zaini Othman; Pengerusi Al Rajhi Banking & Investment Corporation (M) Bhd Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani N Hassan Thani;

Penasihat Komunikasi kepada Perdana Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan; President of Malaysian Punjabi Chambers of Commerce and Industries Datuk Seri Daljit Singh A/L Gurudeb Singh; Presiden Parti Makkal Sakthi Datuk Seri R.S Thanenthiran; Datuk Seri Chiau Beng Teik dari Midas Property;

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif PA Resource Sdn Bhd Datuk Seri Lau Kuan Kam; Ketua UMNO Wangsa Maju Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah dan Ketua UMNO Bukit Bendera, Pulau Pinang Datuk Seri Ahmad Ismail. Sejumlah 76 individu pula dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima berkenaan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Rose Lena Lazemi; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Dr Junaida Lee Abdullah; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan & Sosio-Ekonomi) Kementerian Wilayah Persekutuan Rosida Jaafar; Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Sosio-Ekonomi Kementerian Wilayah Persekutuan, M Noor Azman Taib; dan Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan, Dr Noor Aliyah Ismail.

Turut dianugerahkan PMW ialah Pengurus Besar Aset Kayamas, Lee Chan Kuen; Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Chin Chai; Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Zakran Abd Manan; Naib Ketua UMNO Labuan Khalid A. Ghani; Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii; Ketua MIC Labuan, Ramasamy Rengasamy; Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang, Lee Beng Seng dan Pengarah Urusan Makkal Osai Sdn Bhd, Sunther Subramaniam. Sebanyak 32 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW), 75 individu menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 76 individu menerima anugerah Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 95 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Seorang daripada penerima JMW merupakan pendakwah Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Pasangan beregu lelaki badminton yang meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016, Goh Wei Shem dan Tan Wee Kiong merupakan antara penerima KMW.

Turut menerima KMW ialah jurulatih badminton, Jeremy Gan Wye Teck.

Presiden Kelab Kartunis Malaysia, Mohd Desa Omar merupakan seorang daripada penerima AMW. Seorang lagi penerima AMW ialah personaliti TV3, Azwaliza Azman.

Dua petugas media di Putrajaya iaitu jurufoto Chai Wai Chuen daripada Sin Chew Media Corporation Bhd dan jurufoto Mohd Zaki Amiruddin daripada Utusan Melayu (M) Bhd merupakan penerima PPW.

Turut menerima PPW ialah pelakon Datin Naszriah Ngasri yang lebih popular dengan nama Anne Ngasri, iaitu Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang.