KUALA LUMPUR – Padah bertindak sendirian menyerbu pusat judi sekitar Selangor baru-baru ini, Ketua NGO Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md. Yunus akhirnya ditahan polis di kediamannya di Ampang, petang ini.
Beliau ditahan atas tuduhan menceroboh ketika melakukan serbuan ke atas pusat judi di Taman Kosas di Ampang.
Anggota polis berpakaian preman yang mengepung kawasan kediaman itu, mengambil masa kira-kira tiga jam memujuk Jamal supaya menyerah diri.
Bagaimanapun, kira-kira jam 3 petang, Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dilihat keluar dari rumahnya dengan menunggang motosikal sambil melambai tangan ke arah orang ramai yang berkumpul menyaksikan kejadian itu.
Beliau kemudian dibawa dengan kereta polis ke Ibu Pejabat Balai Polis Ampang untuk disoal siasat.
Sementara itu, 12 penyokongnya juga turut ditahan, selepas polis menerima aduan awam berhubung tindakan Jamal menyerbu pusat judi tanpa lesen.
Selain Jamal, beberapa lagi rakannya termasuk peguam Gabungan NGO Malaysia turut ditahan untuk membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















