Mohd Anuar Tahir

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, Sarawak pada 18 Februari ini.

Keputusan itu diumumkan Setiausaha Agungnya, Mohd. Anuar Tahir, dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Katanya, PAN berpendapat, dalam suasana politik semasa hari ini, adalah penting untuk parti itu menumpukan sepenuh usaha ke arah persiapan dan perancangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

“Parti Amanah Negara telah mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada PRK DUN N.03 Tanjong Datu pada 18 Februari 2017 ini,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Pada 25 Januari lalu juga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak turut menyatakan keputusan tidak bertanding pada PRK itu dengan alasan hendak menumpukan perhatian PRU-14.

Pengerusinya, Baru Bian dilaporkan berkata, keputusan itu juga bagi memberi peluang kepada kerajaan negeri melaksanakan semua janji yang dibuat oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) Sarawak memilih Puan Sri Jamilah Anu iaitu balu kepada bekas Ketua Menteri Sarawak sebagai calon mempertahankan kerusi DUN Tanjung Datu.

Nama itu diumumkan Pengerusi BN Negeri, Datuk Amar Johari Tun Abang Openg semalam, selepas mempengerusikan mesyuarat khas PRK DUN Tanjung Datu di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako, di Sarawak pada petang. – MalaysiaGazette

Jamilah Anu calon BN bagi PRK Tanjong Datu – Abang Johari