SEPANG – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa meminta ahli parti bertenang dengan situasi yang dihadapinya.
Katanya, apa yang berlaku ke atasnya adalah prosedur biasa jika wujud kes yang memerlukan siasatan.
“Saya minta ahli UMNO bertenang. Jangan buat sesuatu yang boleh menjejaskan parti. Kes saya ini adalah biasa dan saya akan beri kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya juga nak mohon maaf kepada SPRM kerana saya jangka tiba ke Malaysia pagi ini dan akan terus ke ibu pejabat SPRM tetapi kerana kesilapan teknikal, penerbangan saya sebenarnya adalah tengah hari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.
Kira-kira 300 penyokong beliau termasuk sayap Puteri dan Pemuda UMNO Bahagian Ketereh menunggu kepulangannya kira-kira jam 9.30 malam.
Annuar digantung tugas sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada 31 Januari lalu oleh Ahli Majlis MARA yang mengadakan mesyuarat khas mengenai penyalahgunaan kuasa berhubung penajaan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).
Serentak itu, tugasan beliau dipangku oleh Ahli Majlis MARA, Datuk Dr. Yusof Yacob.
Ditanya, adakah wujud konspirasi dalam menjatuhkan beliau, Annuar berkata, ia tidak berlaku.
Menjawab soalan, Annuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO bersedia dirinya disiasat oleh SPRM dan akan memberi kerjasama penuh kepada agensi itu.
Beliau juga turut menafikan ada cubaan menikamnya dari belakang, berikutan diarahkan bercuti sebagai Pengerusi MARA.- MalaysiaGazette