Home Nasional Dilarang merokok di taman-taman negara, negeri, awam

Dilarang merokok di taman-taman negara, negeri, awam

KUALA LUMPUR – Taman-taman awam, negara dan negeri diwartakan sebagai tempat larangan merokok kecuali di tempat letak kereta mulai 1 Februari lalu,

Tiga tempat tumpuan awam di taman-taman negara dan negeri iaitu di menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi dan jarak lima meter dari laluan keluar dan masuk titian kanopi juga dilarang merokok.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan dalam kenyataanya berkata, selaras dengan pewartaan mengikut Peraturan 21 iaitu peruntukan bagi hentian pengangkutan awam tidak berhawa dingin, tempat makan berhawa dingin dan stadium terbuka dengan keluasan satu pertiga kawasan merokok adalah dimansuhkan.

Ini bermakna semua restoran berhawa dingin adalah seratus peratus kawasan bebas merokok.

Menurutnya, penambahan kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11 dan pemansuhan Peraturan 21 PPKHT 2004 bertujuan untuk melindungi golongan bukan perokok dari bahaya asap rokok atau lain-lain produk merokok.

“Ia selaras dengan Artikel 8, WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) yang telah dianggotai Malaysia semenjak tahun 2005.

“Selain itu, perluasan kawasan-kawasan dan tempat-tempat dilarang merokok bertujuan untuk mengekang aktiviti merokok di tempat awam supaya budaya ini tidak diterima oleh masyakarat,” katanya.

Mereka yang melakukan kesalahan ini akan didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Kementerian Kesihatan menasihatkan peraturan ini dipatuhi dan menyeru agar semua lapisan masyarakat bersama-sama memastikan persekitaran anda terutama di tempat tumpuan awam bebas dari bahaya asap rokok dan lain-lain produk merokok. – MalaysiaGazette