MANCHESTER – Penyerang baharu Manchester City, Gabriel Jesus kini semakin menjadi sebutan apabila menjaringkan dua gol selepas pasukannya membantu menundukkan Swansea City 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, semalam.

Aksi memukau bekas pemain Palmeiras, Brazil turut mendapat pujian pengurusan, Pep Guardiola.

Jesus yang berusia 19 tahun membantu City mencapai kemenangan berharga apabila menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan minit ke-92 selepas meledak gol pertama pada minit ke-11.

“Gabriel Jesus seorang yang kuat, pantas dan mempunyai pergerakan yang amat baik,” kata Guardiola kepada BBC.

“Dia muncul pada waktu yang sangat tepat. Kami gembira memilikinya,” tambah Guardiola.

Guardiola turut berpuashati apabila skuad kendaliannya mampu berjuang sehingga ke minit akhir.

“Inilah pertama kali kami memang pada perlawanan minit terakhir,” ujarnya.

Kemenangan Manchester City sekali gus melonjakkan pasukan Guardiola ke tangga ketiga liga dengan 49 mata, ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu liga, Chelsea.

Swansea City pula turun ke tangga 17 liga, hanya satu mata dipisahkan daripada Hull City yang menghuni zon penyingkiran. – MalaysiaGazette