JAKARTA – Pertumbuhan ekonomi Indonesia bagi suku keempat jatuh di bawah lima peratus serta merekodkan perkembangan lebih lemah berbanding jangkaan, demikian menurut biro statistik negara itu.

Reuters melaporkan, ekonomi terbesar Asia Tenggara itu berkembang 4.94 peratus pada suku terakhir 2016 berbanding 5.01 peratus pada suku ketiga.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.02 peratus bagi keseluruhan 2016.

Meskipun meningkat berbanding angka semakan semula 4.88 peratus pada 2015, kadar pertumbuhan ekonomi Indonesia tidak mencapai sasaran asal yang ditetapkan kerajaan iaitu 5.3 peratus.

Hanya pada penghujung tahun lalu, pegawai-pegawai kanan kerajaan menjangkakan pertumbuhan adalah sekitar lima peratus sahaja. – MalaysiaGazette