Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menarik diri daripada kejohanan All England di Birmingham pada 7 sehingga 12 Mac ini disebabkan masalah kecederaan yang dialami semasa latihan.

Jurulatih Kebangsaan, Hendrawan mengesahkan pemain nombor satu dunia itu mengalami kecederaan ligamen di lutut kirinya.

Pemain berusia 34 tahun itu terjatuh semasa menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Sabtu lalu.

Menurut Hendrawan, Chong Wei memerlukan masa tiga sehingga enam minggu untuk pulih.

“Ini adalah permulaan yang mengecewakan kepada Chong Wei semasa memasuki musim baharu ini.

“Beliau sangat bersemangat menjalani latihan selepas perayaan Tahun Baharu Cina tetapi sekarang beliau sudah cedera.

“Beliau memang bersungguh-sungguh menjalani latihan untuk All England tetapi pada usia sebegini kecederaan merupakan cabaran terbesar.

“Kami harap beliau cepat pulih,” katanya.- MalaysiaGazette