KUALA LUMPUR – Pelupusan saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan satu isyarat yang baik.

Ini kerana, penganalisis pasaran berpendapat, trend penjualan saham FGV melibatkan institusi pelaburan utama negara – yang memiliki kepakaran dan pengalaman luas dalam pelaburan dalam dan luar negara.

“Institusi pelaburan ini bukan kecik-kecik anak, jadi apabila Tabung Haji dan koperasi pelaburan milik Felda juga mengurangkan pegangan sudah tentu mereka ada alasan kukuh yang mendorong tindakan seumpama itu.

“Apa alasan mereka, kita tidak tahu. Yang pasti institusi-institusi ini menjual pegangan FGV bukan untuk membuat untung tetapi mengurangkan kerugian,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelupusan lima juta saham FGV oleh KPF pada 27 Januari lalu.

Penjualan itu menjadikan pegangan KPF dalam syarikat perladangan kelapa sawit itu menurun kepada 206.759 juta atau 5.667 peratus, menurut KPF dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Lembaga Tabung Haji juga melupuskan 150,000 saham dalam FGV dan kini ia memiliki 286,943 juta saham atau 7.865 peratus dalam syarikat perladangan milik Felda itu.

Pada Disember lalu, KWSP mengumumkan ia tidak lagi mempunyai sebarang kepentingan dalam syarikat itu.

FGV disenaraikan pada Jun 2012 pada harga RM4.55 sesaham pernah menjadi tumpuan pelabur semasa awal kemunculannya di papan utama Bursa Malaysia.

Melalui penyenaraian tersebut, FGV berjaya meraih keuntungan sebanyak RM10.4 bilion, saham kedua terbesar di dunia menjana keuntungan selepas Facebook.

Daripada RM10.4 billion itu, sebanyak RM4.5 bilion telah diagihkan kepada FGV manakala selebihnya kepada FELDA dan lain-lain anak syarikat.

Sebanyak RM4.5 bilion digunakan oleh FGV untuk agenda pertumbuhan dengan menambah keluasan ladang, kerana itu FGV telah membeli ladang-ladang yang berpotensi di Malaysia dan juga di luar negara.

Tetapi saham FGV merudum jatuh hingga ke paras RM1.95 sesaham disebab kejatuhan nilai saham tersebut sehingga ia terkeluar daripada ‘Top 30’ FBM KLCI pada tahun 2015.

Peniaga itu menambah, prestasi semasa saham FGV banyak dipengaruhi oleh isu-isu yang melanda syarikat itu termasuk pelaburan dan pengurusannya.

“Dalam banyak syarikat perladangan kelapa sawit di bursa, FGV yang merekodkan prestasi buruk.

“Sejak sahamnya jatuh, FGV tidak mampu mendaki semula sebaliknya terus ‘turun tangga’,” tambahnya. – MalaysiaGazette