MUSCAT – Oman telah meminta sebuah jawatankuasa mencari mekanisme mengurangkan kesan harga minyak yang tidak menentu, termasuk memperkenalkan subsidi minyak kepada golongan yang menerima kesan ketara daripada perubahan itu (harga minyak).

Majlis Menteri-menteri telah mengarahkan harga minyak M91 dikekalkan pada harga bulan Februari sehingga kerajaan mencari mekanisme alternatif, lapor Oman News Agency (ONA).

“Dalam hubungan usaha kerajaan untuk membantu masyarakat yang menerima kesan daripada peningkatan harga minyak, Majlis Menteri-menteri telah memanjangkan perkara itu kepada sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab terhadap harga minyak bagi mencari mekanisme untuk membantu warga yang layak.

“Harga bahan bakar M91 pada bulan ini adalah tetap sehingga mekanisme yang dipilih dikuatkuasa,” kata majlis itu dalam satu kenyataan.

Semalam, Persekutuan Agung Kesatuan Perdagangan Oman (GFOTU) menggesa kerajaan negara itu mengkaji kupon bahan bakar untuk pekerja yang kebanyakannya menerima kesan daripada kenaikan harga minyak.

GFOTU mengeluarkan kenyataan yang meminta kerajaan mengkaji semula kenaikan harga minyak memandangkan ia telah memberi kesan kepada pekerja sektor swasta.

Katanya, 60 peratus pekerja warga Oman bekerja dalam sektor swasta dengan pendapatan kurang daripada 400 Oman Riyal sebulan.

“Saya berpendapat ia adalah langkah yang baik memandangkan kebanyakan daripada kita bergelut dengan kenaikan harga minyak,” kata Ahmad Al Beloushi yang bekerja dengan syarikat pembinaan di Muscat.

“Saya perlu memandu setiap hari dari wilayah Barka, iaitu 60 kilometer dari ibu negara. Saya hanya memperolehi 400 Oman Riyal sebulan. Saya membelanjakan 30 Oman Riyal untuk minyak sebelum harganya dinaikkan. Kini saya berbelanja 45 Oman Riyal untuk membeli minyak,” katanya.

 

Majlis itu juga akan membincangkan cadangan dan melaksanakan penyelesaian yang dibentangkan ahli-ahli jawatankuasa itu berhubung harga bahan bakar untuk bulan semasa yang menyebabkan masyarakat tidak berpuas hati selain kesan semasa, lapor ONA.