Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melambai kearah lensa Malaysia selepas beliau hadir di Kuil Seri Mahamariamman Dhevasthanam sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 09 FEBRUARI 2017
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kepelbagaian agama, budaya dan perayaan yang disambut masyarakat tempatan adalah kelebihan dan kekuatan yang mengukuhkan perpaduan rakyat negara ini.

Beliau menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian bukan sekadar luahan retorik kata-kata sahaja dan ia sebaliknya perlu diterjemah dengan penuh keikhlasan tanpa sebarang prejudis atau persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Berucap pada sambutan Thaipusam di Batu Caves di sini hari ini, beliau berkata perbezaan agama tidak harus menjurus kepada sebarang bentuk kekacauan.

“Negara kita terbentuk atas latar belakang (penduduk) yang berbeza, dan kepelbagaian ini harus kita perkukuhkan,” kata timbalan perdana menteri.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata sambutan Thaipusam di negara ini wajar dipromosi sebagai produk pelancongan bagi menarik kedatangan pelancong terutama dari India dan penganut Hindu dari seluruh dunia.

Katanya, Thaipusam bukan hanya satu perayaan yang harus dihormati tetapi ia juga telah menarik sekitar 1.5 juta penganut Hindu dan pelancong ke kuil di Batu Caves tahun ini.

“Saya harap Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mengadakan promosi di seluruh dunia terhadap apa (acara) yang kita lakukan pada hari ini di sini,” kata Ahmad Zahid.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap di Kuil Seri Mahamariamman Dhevasthanam sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 09 FEBRUARI 2017
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap di Kuil Seri Mahamariamman Dhevasthanam sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 09 FEBRUARI 2017

Dari pihak kerajaan, katanya, kabinet telah memutuskan supaya warga India yang bekerja di luar negara diberi pengecualian visa untuk melancong ke Malaysia.

Katanya, ia turut melibatkan sekitar 500,000 rakyat negara itu yang bekerja di Qatar yang boleh memanfaatkan peluang itu untuk mengunjungi Malaysia.

Ahmad Zahid berkata dengan kemudahan ini, diharap lebih ramai warga India dan penganut Hindu akan datang ke negara ini dan mengunjungi Batu Caves terutama pada perayaan Thaipusam.

Beliau seterusnya berkata usaha menarik lebih ramai pengunjung ke Batu Caves bukan hanya terletak di bahu Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan semata-mata kerana ia melibatkan semua pihak termasuk pengurusan kuil Batu Caves.

“Semua pengunjung yang datang ke sini boleh membantu mempromosikan sambutan Thaipusam di sini sebagai produk pelancongan,” katanya.

Turut hadir sewaktu kunjungan Ahmad Zahid itu ialah Presiden MIC yang juga Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk S.A. Vigneswaran, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri S.K. Devamany dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

— BERNAMA