KUALA LUMPUR – Seramai 19 warganegara asing yang dipercayai terlibat dalam satu sindiket pelacuran antarabangsa berjaya ditahan Jabatan Imigresen di Georgetown, Pulau Pinang malam tadi.

Kesemua suspek melibat 16  wanita warga Uzbekistan, seorang warga Indonesia dan dua warga Vietnam yang berusia dalam lingkungan antara 17 hingga 38 tahun.

Ketua Pengarah, Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, serbuan pasukan Unit Tindakan Imigresen, Jabatan Imigresen negeri bersama Bahagian Penguatkuasa, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dilakukan di sebuah kediaman Service Apartment.

Jelasnya, turut ditahan tiga lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai bapa ayam yang mendalangi dan menyelia aktiviti tidak bermoral di premis kediaman tersebut.

“Wang tunai hasil daripada pendapatan tidak bermoral tersebut berjumlah RM12,629  dan dua buah kenderaan jenis Mercedes dan Proton Exora yang disyaki digunakan untuk aktiviti haram tersebut turut dirampas ketika serbuan dijalankan.

“Sindiket tersebut berselindung di sebalik premis kediaman bagi mengaburi agensi penguatkuasa kerana premis kediaman dikawal ketat oleh pengawal keselamatan apartment dan pelawat yang dibenarkan sahaja diberi kebenaran masuk.

“Sindiket ini dipercayai aktif semenjak dua bulan lalu dengan menawarkan khidmat seks melalui aplikasi sosial WeChat dengan bayaran RM 240 hingga RM 350 setiap sesi secara ‘walk-in’ dan ‘out call’ di hotel-hotel yang ditetapkan oleh pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mustafar berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati wanita-wanita tersebut masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial dan terdapat dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan.

Ujar beliau, Jabatan Imigresen percaya sindiket itu melibatkan rangkaian sindiket antarabangsa dan hasil daripada penangkapan itu akan membawa kepada penemuan rangkaian-rangkaian sindiket lain yang bergerak aktif yang turut didalangi oleh warga asing dengan kerjasama warga tempatan.

“Jabatan Imigresen juga menyeru agar orang ramai sentiasa melaporkan kepada kami sekiranya mereka mempercayai terdapat aktiviti-aktiviti serupa di kawasan kediaman mereka bagi memastikan gejala moral dan aktiviti haram seperti pelacuran dapat dibanteras,” katanya.

Sementara itu, kesemua suspek ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010). – MalaysiaGazette