MANCHESTER – Jose Mourinho berpuas hati dengan persembahan Manchester United selepas mengekalkan rekod tanpa dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namun pengendali Portugas itu mengakui bekas kelabnya, Chelsea tidak akan melepaskan genggaman mereka untuk memenangi takhta liga musim ini.

Hanya satu mata membezakan United dengan penghuni tangga keempat, Manchester City, selepas mereka melakar kemenangan 2-0 ke atas Watford di Old Trafford, semalam.

Jaringan yang dihasilkan oleh Juan Mata dan Anthony Martial menyaksikan United tidak tewas dalam 16 perlawanan.

Mourinho menyifatkan pendekatan bertahan dan melancarkan serangan balas yang dipamerkan oleh Chelsea mampu menyaksikan mereka dinobat sebagai juara liga musim ini.

“Kami perlu mendapatkan kemenangan,” ujar Mourinho.

“Sebanyak 16 perlawanan tanpa kalah adalah satu rekod yang menakjubkan tetapi ia akan menjadi lebih sempurna jika kami dapat mengurangkan keputusan seri di laman sendiri.

“Ia adalah perlawanan yang sukar dan penting buat kami. Kami bukan pasukan yang banyak menjaringkan gol dan amat penting buat kami untuk memastikan gawang gol tidak dibolosi. Saya amat gembira dengan persembahan pasukan.”

“10 hingga 15 minit sebelum Mata menyumbat gol pertama perlawanan, kami menampilkan aksi yang cemerlang.”

Kemenangan The Red Devils ini juga menyaksikan mereka menjadi pasukan pertama dalam sejarah (EPL) untuk meraih 2,000 mata. – Malaysiagazette