Antonio Conte berkata enam pasukan teratas liga masih mampu menjuarai EPL musim ini. Foto: Daily Mail

ENGLAND – Pengurus Chelsea, Antonio Conte berkata, rebutan liga Perdana Inggeris masih terbuka selepas Chelsea terlepas dua mata.

Dalam aksi EPL menentang Burnley semalam, Chelsea terikat 1-1 di Stadium Turf Moor.

Chelsea masih mengungguli takhta liga dengan 10 mata daripada pesaing terdekatnya Tottenham Hotspurs, tetapi ia boleh kurang kepada 8 mata jika Manchester City menang ke atas Bournemouth malam ini.

“Masih berbaki 13 perlawanan lagi. Jika sesiapa menganggap saingan liga sudah tamat, itu salah.

“Terdapat enam pasukan teratas bersaing kuat dengan Chelsea dan mereka boleh menang EPL dan apa juga boleh berlaku,” katanya.

Chelsea sangat berkeyakinan untuk memungut tiga mata penuh dalam aksi malam tadi bagaimanapun gol awal Pedro Rodriguez dinafikan oleh Burnely sebelum keputusan terikat 1-1.

“Kami sangat kecewa dengan pungutan satu mata,” kata Conte secara ringkas. – MalaysiaGazette