Home Dunia Serbuk lada gemparkan lapangan terbang Jerman

Serbuk lada gemparkan lapangan terbang Jerman

BERLIN – Perkhidmatan kecemasan Jerman merawat kira-kira 70 orang di lapangan terbang Hamburg selepas orang ramai mengalami kerengsaan akibat semburan serbuk lada di dalam bangunan itu.

Kejadian itu menyebabkan lapangan terbang di utara bandar itu telah ditutup dan 13 penerbangan ditunda atau dilencongkan selepas beberapa orang melaporkan terhidu bau yang pelik menyebabkan sukar bernafas, loya dan mata pedih.

Anggota bomba kemudian telah menemui kartrij kosong yang dipercayai mengandungi semburan lada, yang dijual di Jerman untuk mempertahankan diri.

Jurucakap Jabatan Bomba Hamburg memberitahu media, ada pihak yang tidak bertanggungjawab dipercayai membebaskan gas lada, yang kemudian merebak melalui sistem pengudaraan dalam bangunan tersebut.

Selepas kejadian yang sama baru-baru ini berlaku di sekolah-sekolah tempatan, “ia telah menjadi kebiasaan” di tempat-tempat awam, menurut pegawai bomba Norbert Kusch memberitahu agensi berita DPA.

Pihak berkuasa berkata, mereka menolak tindakan keganasan, kata DPA.

Seramai 68 orang telah diperiksa oleh paramedik dan sembilan daripada mereka telah dibawa ke hospital.

Beratus-ratus lagi terpaksa menunggu di luar dalam suhu beku musim sejuk selama lebih daripada satu jam, selepas kereta api bawah tanah ke lapangan terbang itu juga dihentikan. – MalaysiaGazette