Noh Omar pada sidang media di Bangunan UMNO Selangor selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Negeri

SHAH ALAM – UMNO Selangor hari ini, menolak hasrat peletakan jawatan oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunus.

Sebaliknya, menurut Pengerusi UMNO Negeri itu, Tan Sri Noh Omar, Jamal juga kekal sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sungai Besar sehingga keputusan muktamad diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Kata beliau, UMNO Negeri tidak mahu kehilangan pemimpin seperti Jamal kerana berani memperkatakan yang benar, walaupun tindakannya tidak disukai sesetengah pihak.

“Keputusan mengekalkan Jamal dibuat dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Selangor hari ini. Kita sebulat suara mengekalkan dia sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Pengerusi BN) Sungai Besar.

“Bagaimanapun, keputusan sebenar sama ada diterima atau sebaliknya, tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh MT UMNO nanti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO Negeri di Bangunan UMNO Selangor di sini, petang ini.

Pada Isnin minggu lalu, Jamal mengumumkan peletakan kawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan semua jawatan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disandangnya.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia, membuat pengumuman itu selepas dibebaskan bersama sembilan tahanan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Menurut Noh, surat itu diserahkan kepadanya dan dibawa untuk perbincangan pada mesyuarat UMNO Negeri hari ini, dan sebulat suara mengekalkannya.

Kata beliau, surat peletakan jawatan itu belum lagi diserahkan kepada MT dan akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

“Jamal adalah seorang yang berjiwa besar dan beliau tidak mahu mengaitkan UMNO dengan aktiviti NGO yang beliau lakukan, tetapi dalam UMNO, kita lihat beliau mendapat sokongan kuat daripada ahli dan berjaya memainkan peranannya sebagai pemimpin UMNO.

“Bahkan, Jamal turut memainkan peranan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar sebagai Pengerusi BN kawasan itu tahun lalu.

“Kerana itu, kita berpendapat beliau masih layak memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan juga Pengerusi BN Sungai Besar,” katanya. – MalaysiaGazette