Datuk Seri Jamal Md Yunos

KLUANG – Kedudukan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Mohd Yunos akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO berdasarkan pendirian UMNO Selangor.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sekali pun UMNO Selangor telah memutuskan perkara itu, isu peletakan jawatan Jamal selaku Ketua Bahagian Sungai Besar dan juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sungai Besar masih perlu dibincangkan oleh MT.

“Keputusan sama ada peletakan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar diterima atau ditolak terserah kepada pendirian mereka,” kata Menteri Pertahanan itu kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya tidak menerima peletakan jawatan Jamal walaupun Jamal mahu berbuat demikian demi nama baik parti.-MalaysiaGazette