Jamal Yunos membawa van jenazah sebagai protes berkenaan isu Ketulusan Kerajaan Negeri Selangor Dalam Mengurus Wang Rakyat dan Kedai Judi di hadapan Pejabat SUK Selangor, Banggunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, kelmarin. foto SAFWAN MANSOR, 14 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Siasatan awal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi dan mengambil kesempatan terhadap pihak pengurusan van jenazah dalam demonstrasi di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, kelmarin.

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim berkata, pihaknya juga kesal dengan tindakan beberapa individu yang mengeksploitasi kemudahan masjid.

“Kita dimaklumkan terdapat beberapa individu mendakwa daripada Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor telah menghubungi pihak masjid untuk menyewa van jenazah berkenaan untuk tujuan sesi penggambaran, kempen anti judi, pameran dan sebagainya.

“Tindakan beberapa individu telah mencemarkan kemuliaan institusi masjid,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Pengerusi Gerakan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dan rakan-rakannya membawa keranda dan van jenazah semasa membuat demonstrasi di depan Bangunan SUK Selangor baru-baru ini.

Haris berkata, semakan mendapati pemilikan van berkenaan terbahagi kepada empat kategori kesemuanya.

Jelasnya, ia termasuk van jenazah dimiliki oleh pegawai dan jawatankuasa masjid kariah, swasta, Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan dan Badan Khairat Kematian.

“Sehubungan itu, JAIS meminta semua ahli jawatankuasa masjid agar lebih berhati-hati pada masa depan dalam menyemak terlebih dahulu program yang bakal dilaksanakan.

“Ini bagi mengelakkan institusi masjid agar tidak disalahgunakan lagi pada masa akan datang,” jelasnya. – MalaysiaGazette