Azih Muda

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menolak cadangan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim supaya kerajaan mengecilkan sektor perkhidmatan awam.

Menurut Presidennya Datuk Azih Muda, cadangan itu tidak akan menyelesaikan masalah pengurusan kerajaan malah akan memberikan impak negatif kepada sektor perkhidmatan awam di negara ini.

Sheriff sebelum ini mengemukakan cadangan untuk membuang kakitangan berjawatan rendah bagi mengurangkan beban kewangan.

“CUEPACS berpendirian sebulat suara menolak cadangan yang diutarakan bekas pesara yang dah terima pencen 25 tahun untuk kecil saiz perkhidmatan awam.

“Kami nak kongsi bahawa anggota perkhidmatan awam yang berkhidmat dan bersara tidak semua digantikan menyebabkan lambakan kerja terpaksa ditanggung penjawat awam”, katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Kongres Luar Biasa CUEPACS hari ini.

Sheriff ketika mengusulkan cadangan pengurangan jumlah penjawat awam berkata, kerajaan perlu memperuntukkan RM76 bilion setahun untuk penggajian dan elaun.

Malah RM21.6 bilion lagi dibelanjakan untuk bayaran pencen kepada pesara perkhidmatan awam.

Sheriff berkata, pemberhentian kakitangan perkhidmatan awam pada masa ini akan menjadi satu pendekatan yang positif dengan membolehkan mereka diberikan pampasan adil.

Malah lambakan kakitangan perkhidmatan awam telah menyebabkan ketidakcekapan dalam ekonomi dan kegagalan dalam disiplin kewangan kementerian serta jabatan kerajaan.

Jelas Azih, perkara ini terjadi kerana beberapa cabang perkhidmatan awam lain seperti anggota keselamatan, golongan guru dan sektor kesihatan tidak dipisahkan seperti negara-negara maju lain seperti Singapura.

Untuk rekod, Malaysia kini mempunyai 1.6 juta penjawat awam dari pelbagai cabang termasuk empat cabang diatas.

Justeru beliau meminta pihak kerajaan agar menolak terus cadangan terbabit kerana perkara ini melibatkan sebilangan besarnya penjawat awam yang kini berkhidmat di pelbagai bidang.

“CUEPACS harap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketepikan cadangan ini serta menolak cadangan.

“Perdana Menteri faham mengenai perkhidmatan awam dan sebahagian jawatan hari ini mungkin diwujud masa Mohd Sheriff jadi Ketua Setiausaha Perbendaharaan”, katanya lagi.

Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani baru-baru ini berkata ketika ini terdapat kira-kira 1 orang penjawat awam untuk setiap 19.37 orang penduduk, menyebabkan perbelanjaan kerajaan bertambah.

Johari bagaimanapun berkata tiada rancangan untuk mengurangkan jumlah penjawat awam.

Beliau juga dilaporkan berkata kerajaan tahun lalu membelanjakan RM74 bilion untuk membayar penjawat awam, meningkat daripada RM22 bilion pada 2003. – MalaysiaGazette