KUALA LUMPUR- Perbuatan mana-mana pihak yang memberikan jaminan doanya akan dimakbulkan Allah apatah lagi menerima upah untuk berdoa adalah salah di sisi Islam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha yang mengulas mengenai iklan Doa Valet yang mengenakan harga tertentu untuk doa-doa yang akan dibacakan di Mekah mengatakan perbuatan tersebut jelas menunjukkan unsur perniagaan dan menjaja serta menggunakan ibadat seperti doa untuk tujuan perniagaan tidak dibenarkan di dalam Islam

Justeru beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak terpedaya dengan individu atau pertubuhan yang menawarkan pakej perkhidmatan sedemikian.

Menurut Othman, doa adalah permohonan daripada seorang hamba yang meminta pertolongan dari Allah dan umat Islam boleh berdoa di mana sahaja asalkan menepati syarat dana dap agar ia dimakbulkan seperti yang dinyatakan para ulama.

“Sangat tidak wajar doa dijadikan produk atau perkhidmatan komersial kerana ia mempergunakan agama untuk habuan dunia dan mencemarkan kesucian agama Islam

“Hak termakbulnya doa adalah milik Allah semata-semata, bukan terletak kepada manusia. Ia tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang boleh menerima upah.

“Justeru, tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya akan dimakbulkan Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, kecoh di lama sosial apabila satu laman  Valet Doa menawarkan pakej berdoa di tanah suci bagi mereka yang mahukannya, dengan harga sehingga RM2,500.

Othman juga menyarankan umat Islam supaya memberikan maklumat kepada JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri jika timbul sebarang keraguan atau kemusykilan terhadap isu seumpama itu.-MalaysiaGazette