Kim Jong Nam

JAKARTA – Kementerian Luar Indonesia hari ini mengesahkan wanita yang ditahan berhubung pembunuhan seorang warga Korea Utara di Malaysia adalah warganya.

Kim Jong Nam yang merupakan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Isnin lalu.

“Kedutaan kami telah mengesahkan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa keselamatan Malaysia dan berdasarkan data awal, wanita itu adalah warga Indonesia,” kata kenyataan Kementerian Luar Indonesia.

Kedutaan Indonesia telah memohon akses kepada wanita tersebut untuk membolehkan bantuan guaman disediakan, tambah kementerian itu.

Polis Malaysia mengesahkan hari ini bahawa ia telah menahan wanita berusia 25 tahun yang memegang pasport Indonesia. Pasport wanita tersebut mengenalpasti beliau sebagai Siti Aishah dan menyatakan wanita itu berasal dari Serang, Jawa Barat.

Menurut polis Malaysia, wanita itu dikenalpasti menerusi rakaman litar tertutup di lapangan terbang di mana Jong Nam diserang dan dia berseorangan semasa ditahan. – Reuters