KUALA LUMPUR- Dua suspek wanita dan empat suspek lelaki yang terlibat di dalam pembunuhan Kim Jong Nam adalah pembunuh upahan yang tidak mengenali satu sama lain sebelum dikumpulkan dalam satu rancangan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara itu.

Sumber keselamatan Malaysia memberitahu The Telegraph, keenam-enam suspek yang dikatakan ejen rahsia itu tinggal di Kuala Lumpur.

Mereka direkrut dan diberi taklimat oleh seorang ejen rahsia, demikian menurut sumber yang enggan dinamakan.

Siti Aisyah, warga Indonesia, suspek kedua yang ditangkap kelmarin telah tinggal di Kuala Lumpur selama beberapa bulan.

Dia bekerja sebagai pelayan di sebuah kelab malam.

Media Indonesia, Kumpuran melaporkan, Siti Aisyah dikatakan telah didekati oleh seorang lelaki misteri semasa sedang bekerja dan ditawarkan AS$100 untuk membantu pembunuhan tersebut.

Siti Aisyah dikatakan menerima tawaran tersebut kerana memerlukan wang namun dia tidak mengetahui siapakah Kim Jong-Nam.

Katanya, dia juga tidak mengenali suspek-suspek lain yang terlibat di dalam kes tersebut, sebaliknya menyangka mereka adalah krew penerbitan bagi sebuah rancangan komedi realiti televisyen.

Menurut Kumpuran, Siti Aisyah yang berasal dari Serang, utara Indonesia adalah seorang ibu tunggal yang tidak berpelajaran.

Dalam pada itu, sumber keselamatan Malaysia berkata, polis telah menahan seorang warga lelaki tempatan berusia 25 tahun yang dipercayai teman lelaki Siti Aisyah.

Dia dikatakan tidak terlibat dengan kes tersebut tetapi mungkin digunakan bagi mendapatkan maklumat yang akhirnya membawa kepada penangkapan Siti Aisyah.

Dakwaan tersebut seiring dengan pelbagai laporan yang mengatakan suspek berbangsa Vietnam, Doan Thi Huang telah memberitahu polis bahawa dia ditipu untuk meracun Jong Nam.

Thi Huang melakukan perbuatan tersebut kerana menyangka ia hanyalah satu gurauan (prank) yang tidak merbahaya.

Kedua-dua wanita berkenaan tidak tergesa-gesa meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 selepas melakukan serangan, sebaliknya beratur untuk mendapatkan teksi di pintu keluar. – MalaysiaGazette

Comments are closed.