Thursday, April 18, 2024
Home Nasional Tabung Waqaf Johor adalah sukarela – Kerajaan Johor

Tabung Waqaf Johor adalah sukarela – Kerajaan Johor

KUALA LUMPUR – Kerajaan Johor tampil menjelaskan bahawa penyertaan para pejawat awam dalam Tabung Waqaf Johor adalah secara sukarela.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohani, tiada paksaan dikenakan ke atas mana-mana kakitangan kerajaan di Johor bagi menyertai skim tabungan tersebut.

“Pekeliling yang diedarkan kepada para pejawat awam jelas membuktikan bahawa penyertaan adalah secara sukarela.

“Ia sebahagian daripada usaha kerajaan Johor untuk memperkasakan institusi waqaf sebagai salah satu instrumen kebajikan dan pembangunan rakyat dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azmi mengulas laporan portal yang mendakwa satu pekeliling telah diedarkan kepada kakitangan kerajaan di Johor termasuk bukan Islam bagi menyertai skim tabungan tersebut.

Pada 8 November lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melancarkan Tabung Waqaf Rakyat Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di Johor Bahru.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tabung itu akan berfungsi sebagai wadah bagi seluruh umat Islam di negeri ini untuk melakukan amal jariah.

 “Tiba masanya kita mencari model pembangunan berdasarkan kerangka Islam dan bukan hanya berpandu kepada apa yang datang dari Barat.

“Wakaf menjadi pilihan kita kerana ia adalah ibadah dan dakwah. Wakaf adalah cara untuk kita menguruskan kekayaan yang ada untuk dikongsi dan membawa kebaikan kepada semua,” katanya pada majlis pelancaran tabung itu. – MalaysiaGazette