KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengkaji semula laluan berbasikal, terutama aktiviti yang dilakukan pada waktu malam susulan kemalangan maut yang meragut lapan nyawa di Johor Bahru awal pagi tadi.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terutamanya penunggang basikal dititikberatkan.

“Elok disemak semula (laluan berbasikal di Wilayah Persekutuan). Saya tahu basikal ada lampu malam di bahagian depan dan belakang tapi bila kawasan terbabit gelap dan sebagainya maka perkara ini perlu difikir balik kerana melibatkan faktor keselamatan.

“Kita di Wilayah Persekutuan antara yang aktif berbasikal adalah di Putrajaya dan kita akan tengok balik laluan berbasikal dan dilakukan di kawasan-kawasan yang terang dan tingkatkan faktor keselamatan,” katanya selepas merasmikan program ‘Kenduri Wilayah Persekutuan Parlimen Segambut’ hari ini.

Hadir sama isteri Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datin Seri Datuk Anggraini Sentiyaki.

Awal pagi tadi, lapan remaja terkorban apabila basikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran dalam, Johor Bahru manakala empat lagi parah.

Dalam kejadian itu sebuah kereta dilaporkan merempuh sekumpulan remaja berbasikal menghala ke Dataran Bandaraya Johor Bahru bersebelahan tanah perkuburan Mahmoodiah.

Laporan awal menyebut sebuah kereta jenis Nissan Almera yang dipandu seorang wanita datang dari arah Petronas Lingkaran Dalam, merempuh sekumpulan remaja berbasikal yang berada di bahu jalan.

Dalam kejadian berkenaan, enam maut ditempat kejadian manakala enam orang lagi telah dikejarkan Ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Dua daripada mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. -MalaysiaGazette