Ribuan penyokong yang hadir pada Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Himpunan RUU355 yang dianjurkan oleh Pas di Padang Merbok di ibu negara mendapat sambutan lebih 50,000 orang peserta.

Mereka mula membanjiri lokasi himpunan sejak jam 2 petang dengan meletakkan matlamat mahu usaha memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah di negara ini terlaksana.

Kebanyakan peserta yang hadir mengenakan pakaian baju berwarna ungu yang turut tertera tema perhimpunan ‘Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera’ dan ‘kami sokong pindaan Akta 355’ sebagai tanda solidariti kepada pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Platform itu juga digunakan untuk memperjelaskan kewajaran usul Rang Undang-Undang Persendirian yang dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan pindaan akta itu dan mengapa ia mesti disokong oleh semua umat Islam, khususnya anggota Parlimen.

Pelbagai aturcara disusun oleh penganjur sepanjang himpunan berkenaan yang antaranya ucapan daripada wakil beberapa pertubuhan dan badan-badan bukan kerajaan berkaitan agama termasuk bukan Islam serta tazkirah oleh beberapa tokoh termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Abdul Hadi.

Terdapat sebilangan ibu bapa yang datang ke perhimpunan berkenaan membawa anak kecil hingga ada yang tercicir anak mereka dan memaksa pihak penganjur membuat pengumuman berkali-kali.

Kebanyakan peserta mula berkumpul di Masjid Jamek, Masjid Negara, Parlimen dan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum menuju ke Padang Merbok sambil dikawal Unit Amal Pas.

Tiada perarakan berlangsung, sebaliknya peserta kelihatan berjalan dengan santai secara bersendirian atau dalam kumpulan kecil.

Namun, ada yang berjalan sambil melaungkan takbir dan berzikir.

Berdasarkan maklumat, lebih 1,000 bas digunakan untuk membawa peserta perhimpunan hari ini.

PAS sebelum ini menyasarkan kira-kira 200,000 orang akan menyertai himpunan hari ini sebagai menunjukkan sokongan dan memperjelaskan kewajaran usul RUU persendirian dibentangkan di Parlimen.

RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 oleh Hadi. Pada 24 November lalu, Hadi meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadap RUU itu.

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.