Keadaan kereta yang melanggar kumpulan remaja berbasikal sehingga menyebabkan lapan maut.
JOHOR BAHRU – Seorang daripada mangsa yang cedera dalam tragedi di Jalan Lingkaran Dalam di sini awal hari ini mendakwa kereta yang merempuh mereka dipandu laju.

Muhammad Zulfadli Yusri, 19, berkata kejadian berlaku terlalu pantas namun dia dapat melihat dengan jelas kereta yang dipandu seorang wanita itu seolah-olah meluru ke arah mereka yang berkumpul di tepi jalan.

“Saya dan kawan-kawan berhenti dalam 10 minit di tepi jalan. Tiba-tiba saya nampak kereta meluru laju dan saya memang langsung tidak dapat berbuat apa-apa ataupun mengelak.

“Apabila sedar, saya sudah terduduk dan berasa sakit pada kaki,” katanya yang ditemui pemberita selepas menerima lawatan Pengarah Pendidikan Johor Shaharudin Sharif di Wad Barat 2, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Muhammad Zulfadli berkata dia mengayuh basikal dari rumahnya di Stulang Baru di sini, sebelum bertemu dengan rakan-rakan di lokasi kejadian.

Katanya sejurus selepas rempuhan itu dia melihat beberapa rakannya terbaring di atas jalan dengan ada yang sudah tidak bergerak.

Muhammad Zulfadli yang aktif dalam kegiatan berbasikal lewat malam itu sejak dua tahun lepas turut mendakwa melihat pemandu kereta terbabit menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Remaja yang bekerja sebagai tukang cat itu mengalami patah kaki kanan akibat kejadian bagaimanapun bersyukur kerana terselamat.

Seorang lagi mangsa yang cedera, Muhamad Farhan Che Mat, 16, dari Taman Desa Cemerlang turut mendakwa kereta terbabit dipandu laju.

“Saya sedang menunggu rakan di lokasi itu. Saya juga tidak sempat mengelak. Sejurus kemudian, ada orang membantu saya yang sudah dalam keadaan terbaring,” katanya.

Muhamad Farhan yang sudah tidak bersekolah berkata dia meminati aktiviti itu sejak berumur 12 tahun dan kerap mengikuti kegiatan berbasikal ke Dataran Bandaraya Johor Bahru pada setiap Jumaat.

“Saya tinggal bersama ibu bapa dan keluar rumah kira-kira 11 malam tadi dengan mengayuh basikal yang dipinjam daripada seorang kawan,” katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik itu mengalami patah kaki kanan dan luka di kaki kiri.

Kejadian kira-kira 3 pagi itu mengakibatkan lapan maut, dua kritikal dan enam cedera.

Selain Muhammad Zulfadli dan Muhamad Farhan, empat lagi mangsa yang cedera ialah Mohammad Arasshat Abdullah, 14; Mohd Abdul Samad Abdul Kadir, 16; Muhammad Arif Salman, 15 dan Muhammad Fitri Muhammad Fatoni, 17 yang kesemuanya ditempatkan di wad sama.

— BERNAMA