MANCHESTER – Bekas pemain Manchester United, Ryan Giggs mengakui dia sangat terkejut dengan penampilan ‘luar biasa’ Zlatan Ibrahimovic pada usia yang telah mencecah 35 tahun dan membandingkan penyerang itu dan legenda, Eric Cantona.

Pada awal musim kemasukan bekas pemain antarabangsa Sweden itu diragui sejak tiba di Old Trafford pada musim panas lalu.

Namun Ibrahimovic semakin menjadi-jadi termasuk jumlah jaringannya yang kini melebar kepada 24 gol dalam semua pertandingan.

“Saya fikir ada persamaan (antara Zlatan dan Cantona) kerana keyakinan mereka terhadap keupayaan mereka sendiri dan gol yang mereka telah jaringkan,” kata Giggs.

“Saya tidak menjangka Eric atau Ibrahimovic datang ke United dan menjadi pemain No 1. Malah apabila mereka bermain dengan baik dan mendapat pujian, mereka tidak terbawa-bawa dengan pujian berkenaan.

“Ia adalah tugas mereka dan anda boleh melihat dia (Zlatan) adalah seorang pemain profesional yang baik, dia sentiasa cergas dan pada usianya untuk bermain sebagai penyerang tengah dan menghasilkan gol adalah sukar dipercayai.

“Bukan mudah (bermain pada usia pertengahan 30-an). Jika anda bermain teruk, semua orang sentiasa berkata, “dia sudah terlalu” atau dia ini atau itu, jadi anda sebagai pemain perlu menentang semua tanggapan itu, “katanya. – MalaysiaGazette