Jurgen Klopp

ENGLAND – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp membandingkan pemecatan Claudio Ranieri oleh Leicester City dengan Pemilihan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan isu Brexit.

Pengurus kelahiran Jerman itu berkata beliau tidak dapat memahami kenapa juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City memecat Ranieri.

“Terdapat keputusan pelik pada tahun 2016 dan 2017, Brexit, Trump, Ranieri,” katanya.

Klopp berkata demikian menjelang pertemuan the Kops menentang the Foxes di Power Stadium dalam aksi EPL malam ini.

Klopp menyatakan kekesalan dengan nasib yang menimpa rakan EPLnya itu.

“Saya tidak mempunyai idea kenapa Leicester bertindak demikian (pecat Ranieri).

“Semua boleh menyaksikan situasi (Leicester) dalam EPL dan Liga Juara-Juara Eropah.

‘Dia (Ranieri) seorang insan unik dalam sukan bola sepak.Saya berjumpa dengannya semasa dia melawat Dortmund.

“Anda perlu tanya Leicester kenapa mereka sanggup berbuat demikian ke atas Ranieri,” katanya.

Klopp berkata, dia tidak dapat meramalkan kesan pemecatan Ranieri menjelang perlawanan malam ini, tetapi memberi amaran kepada pemain.

“Awal minggu ini saya dah jelaskan Leicester mungkin sudah sedar dimana kesilapan mereka dan perlu memastikan yang terbaik dari skuad itu.

“Mereka tewas 2-1 dalam aksi LIga Juara-Juara Eropah tetapi reaksinya penuh bersemangat selepas menjaringkan gol tunggal pasukan,” tegasnya.- MalaysiaGazette